Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Februari. – Dalam usaha mencapai wawasan negara, kita perlu menerapkan beberapa aspek penting daripada sisi agama Islam.
Pertama ialah mengukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala dengan memelihara segala perintah-Nya, beriman dengan sebenar-benar iman, memperbanyakkan amal soleh dan istiqamah dalam menghambakan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Kedua ialah membina dan mengukuhkan perpaduan, kerana setiap perancangan akan lebih mudah dan efektif apabila dilaksanakan secara bersama, saling melengkapi antara satu dengan yang lain serta bersatu hati dan jiwa dalam mewujudkan wawasan negara.
Perkara berkenaan merupakan antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-220 dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-42, Tahun 2026 yang diadakan secara fizikal dengan tumpuan utama masjid di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, pagi tadi.
Jelasnya lagi, inilah antara faktor yang menjadikan sesebuah negara Islam sentiasa maju dan gemilang. Apabila agama menjadi keutamaan dalam setiap aspek kehidupan serta perpaduan dijadikan kekuatan, maka usaha membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera akan dapat direalisasikan.
Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli MUIB, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta warga kementerian-kementerian; anggota ABDB serta ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal dan maya.
Juga mengikuti secara maya ialah guru-guru dan para pelajar dari sekolah-sekolah Arab, ugama, rendah serta swasta di seluruh negara.
Terdahulu itu, acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Manakala, Doa Munajat Khas dibacakan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, JPM, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tadabbur Al-Quran oleh Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, iaitu johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi; Awang Haji Awang Mohamad Zul-Hafiz bin Awang Tengah, iaitu johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H/2021M dan 1443H / 2022M; dan Awang Haji Hazwan bin Haji Salim, iaitu johan qari Musabaqah Tilawah Quran Belia Kebangsaan Tahun 1443H/2022M.
Sejurus selesai tazkirah, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, JHEM, KHEU, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.
Munajat Khas anjuran KHEU dengan kerjasama KKBS sempena Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-42, Tahun 2026 bertujuan untuk memupuk kesedaran dan penghayatan bahawa kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan negara adalah nikmat yang wajib disyukuri serta dipelihara bersama.
Melalui munajat yang dipanjatkan, seluruh rakyat dan penduduk NBD diseru untuk memperkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping memohon keberkatan, perlindungan serta rahmat-Nya agar negara terus kekal aman, stabil dan makmur di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran berkenaan juga mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama antara agensi kerajaan serta seluruh lapisan masyarakat dalam menghayati erti kemerdekaan dan kedaulatan negara, selaras dengan tema Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-42, iaitu 'Bersatu Mencapai Cita Negara'.